Pesta Kebudayaan dan Pelancongan Bau 2026 Tonjolkan Keunikan Budaya Bidayuh
BAU: Pesta Kebudayaan dan Pelancongan Bau 2026 bakal berlangsung selama dua hari pada 8 dan 9 Mei ini di REDEEMS Centre, Singai dengan pelbagai pengisian menarik yang menonjolkan keunikan budaya masyarakat Bidayuh, sekali gus dijangka menarik antara 3,000 hingga 5,000 pengunjung.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep berkata, pesta berkenaan akan bermula pada 8 Mei dari jam 3 petang hingga tengah malam, manakala pada 9 Mei pula berlangsung seawal jam 10 pagi hingga tengah malam.
“Penganjuran pesta ini bertujuan memperkenalkan budaya, adat resam, warisan dan sejarah kaum Bidayuh sebagai tarikan pelancongan utama di daerah Bau,” katanya dalam sidang media pada Khamis.
Sepanjang dua hari penganjuran, pengunjung akan disajikan dengan pelbagai aktiviti termasuk rumah terbuka, persembahan seni tradisional, pameran kebudayaan, jualan kraf tangan serta makanan tempatan.
Selain itu, acara ini turut menampilkan barisan artis jemputan seperti Baby Shima, At Adau, Depha Masterpiece, Timothy, Claudia Geres, Ellawati Zaidi, Elliza Suezina, The Friendster, Blackjack, Pak Maon, Mr Sam The Band, Remix R2 Band, Uncle Din Band dan Suk Binie’.
Mengulas lanjut, Datuk Henry berkata masyarakat Bidayuh di daerah Bau yang terdiri daripada komuniti Bratak, Jagoi, Singai, Serembu serta Krokong/Tringus mempunyai keunikan tersendiri yang wajar diketengahkan.
Malah, masyarakat daripada kaum lain seperti Cina, Melayu dan Salako Rara turut dijemput untuk mengadakan rumah terbuka bagi memeriahkan lagi pesta tersebut.
“Konsep ‘gotong-royong’ atau ‘kerja samah’ yang menjadi amalan masyarakat Bidayuh turut diterapkan dalam penganjuran pesta ini sebagai simbol perpaduan komuniti,” jelasnya. -EDISI UKAS