Program SME Resilience & Change Tingkat Daya Saing Usahawan Sri Aman
SRI AMAN: Seramai 100 usahawan tempatan menyertai Program SME Resilience & Change: Transformasi PKS dari Cabaran ke Peluang yang dianjurkan di Hotel Sri Simanggang, pada Jumaat.
Program anjuran Pejabat Daerah Sri Aman dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN Lingga itu bertujuan memperkukuh daya tahan serta meningkatkan daya saing perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.
Dua sesi forum utama telah diketengahkan iaitu Cabaran Sebagai Usahawan Dan Peranan Pendidik/Usahawan Dalam Melahirkan Usahawan Yang Kental serta Cabaran Menjadi Peluang Untuk Terus Maju Dalam Perniagaan.
Antara panel yang terlibat ialah Abdillah Ahmad dari Lanco Food Network Sdn. Bhd. merangkap Co-Founder Tandang Sari Avenue, Prof. Dr. Jati Kasuma Ali (UiTM Sarawak) serta usahawan tempatan iaitu pengasas Opah Delitaste, Zety Zalaluddin.
Forum tersebut dikendalikan oleh Zaiwin Kassim, manakala Noor Nikman Salleh bertindak sebagai pengacara majlis.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor.
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada peserta yang terdiri daripada pelbagai sektor termasuk makanan dan minuman (F&B), kesihatan, pendidikan serta usahawan baharu.
Beliau turut menekankan kepentingan penyesuaian terhadap perubahan teknologi dan trend semasa bagi memastikan perniagaan kekal relevan.
“Usahawan perlu memanfaatkan platform digital seperti Facebook dan TikTok bagi memperluas pasaran serta meningkatkan daya saing,” katanya.
Sepanjang program, peserta turut didedahkan dengan perkongsian berkaitan pengurusan kewangan, strategi pemasaran serta penggunaan teknologi digital dalam perniagaan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa program susulan Train the Trainers (TTT) akan dilaksanakan dengan yuran minimum RM50 bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Sarawak meningkatkan kemahiran keusahawanan.- EDISI UKAS