TYT Sarawak, Isteri Ucap Selamat Jalan Kepada 133 Bakal Haji Sarawak
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menyempurnakan Majlis Keberangkatan Jemaah Haji Sarawak di sebuah hotel terkemuka, di Kuching, pada Khamis.
Pada majlis berkenaan, beliau berdua berkesempatan beramah mesra serta mengucapkan selamat jalan kepada 133 Dhuyufurrahman dari Sarawak yang dijadual berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 7.25 malam ini.
Setiba di KLIA, para jemaah akan digabungkan bersama bakal haji dari Lembah Klang sebelum meneruskan perjalanan ke Tanah Suci menaiki pesawat khas Amal by Malaysia Airlines pada jam 12.05 tengah malam dan dijangka tiba di Madinah pada jam 3.50 pagi waktu Arab Saudi pada hari yang sama.
Rombongan tersebut merupakan sebahagian daripada keseluruhan 986 jemaah haji dari Sarawak yang terpilih menunaikan rukun Islam kelima pada musim haji tahun ini.
Untuk rekod, penerbangan ke Tanah Suci bermula dari 18 April hingga 20 Mei 2026, manakala penerbangan pulang dijadual berlangsung dari 4 hingga 30 Jun 2026.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Mufti Sarawak Datu Khalidi Ibrahim, Ketua Integriti dan Tadbir Urus Tabung Haji Mohd Hasraff Hashim, Pengarah Lembaga Tabung Haji Bagi Wilayah Sarawak dan Sabah Datuk Nurlaila Said dan dif kehormat lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhd Zulfadli Ahmad Sharir