Bina Generasi Seimbang, Bukan Sekadar Cemerlang Akademik
MIRI: Penekanan terhadap pembinaan generasi pelajar yang seimbang dari segi akademik, fizikal dan mental harus dipertingkatkan.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, keupayaan pelajar kini tidak diukur melalui pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu disokong dengan kekuatan fizikal, daya tahan mental serta nilai sahsiah yang tinggi.
“Melalui aktiviti sukan, pelajar dapat membentuk disiplin, semangat berpasukan dan kepimpinan, yang menjadi asas penting dalam melahirkan generasi berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baru Miri Kali Ke-29, di sini, pada Khamis.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu lagi, Kerajaan Sarawak terus komited memperkasa pembangunan sukan dan rekreasi, termasuk meluluskan projek Permy Sports Hub serta Eco Park di Taman Awam di Miri bagi meningkatkan kemudahan kepada masyarakat.
Pada masa sama, beliau turut berkongsi bahawa Sarawak bakal memainkan peranan penting sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027.
Katanya, kerajaan negeri telah memperuntukkan kira-kira RM350 juta bagi penganjuran temasya tersebut, dengan jumlah keseluruhan pelaburan termasuk penaiktarafan infrastruktur sukan mencecah sekitar RM630 juta.
“Ini mencerminkan kesungguhan Sarawak untuk menganjurkan temasya sukan bertaraf tinggi serta membuka lebih banyak peluang kepada bakat muda untuk menyerlah,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau juga menggalakkan pelajar agar memanfaatkan setiap peluang untuk mengasah potensi diri, sambil menegaskan bahawa nilai usaha, disiplin dan pengalaman adalah lebih penting daripada kemenangan semata-mata. -EDISI UKAS