SUKMA Diteruskan Secara Sederhana, Sarawak Zahirkan Penghargaan
KUCHING: Kerajaan Sarawak menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang memastikan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) tahun ini dapat diteruskan, walaupun penganjurannya dilaksanakan secara lebih sederhana di Selangor pada Ogos depan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, keputusan meneruskan temasya itu amat dihargai memandangkan semua negeri telah membuat persiapan rapi dan berada di peringkat akhir latihan.
"Jadi Alhamdulillah, saya berasa amat gembira dan ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Kementerian Belia dan Sukan, menterinya (Dr Taufiq Johari) serta Exco Negeri Selangor kerana berjaya memastikan temasya ini dapat dijalankan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Kejohanan Futsal Piala Presiden Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) SABERKAS di Arena Sukan Simpang Tiga, di sini, pada Jumaat.
Tambahnya, penganjuran ini diadakan secara berskala kecil, dengan acara perasmian dan penutupan akan dikurangkan ke tahap paling minimum termasuk sukarelawan yang pada asalnya sekitar 30,000 orang juga dikurangkan kepada 5,000 orang sahaja.
Namun jelasnya, acara-acara sukan tidak akan berubah dan semuanya tetap akan diadakan bagi memastikan semua atlet dapat bertanding dalam sukan mereka masing-masing.
Beliau berharap token kepada atlet seperti wang saku serta makan minum tidak dikurangkan agar tidak menimbulkan masalah.
Mengulas mengenai persiapan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim memberitahu, kem latihan akan bermula minggu hadapan sebelum berangkat ke sana.
"Ini menunjukkan persiapan kita sudah berada pada tahap akhir. Tempahan bilik, homestay dan sebagainya juga telah dibuat, malah deposit pun sudah dibayar," ujarnya.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro merangkap Setiausaha Agung SABERKAS Dr Safiee Ahmad, Ahli Dewan Negara Senator Dato’ Ahmad Dato’ Sri Ibrahim serta dif kehormat lain.-EDISI UKAS