132 Pelumba Antarabangsa Meriahkan Miri RC Powerboat Race 2026
MIRI: Penganjuran Miri RC Powerboat Race 2026 terus mengukuhkan kedudukan Bandaraya Miri sebagai tumpuan sukan berteknologi tinggi apabila berjaya menarik seramai 132 pelumba dari dalam dan luar negara.
Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata, perlumbaan yang mempertandingkan 625 buah bot dalam lapan kategori membuktikan minat yang semakin meningkat terhadap sukan kawalan jauh berteknologi tinggi.
“Penyertaan peserta dari Brunei, Thailand, Vietnam dan Indonesia jelas menunjukkan bahawa kejohanan ini bukan sekadar acara tempatan, malah telah berkembang menjadi platform antarabangsa yang menghubungkan komuniti peminat sukan ini,” katanya semasa berucap dalam majlis perasmian acara berlangsung di Kolam Remote Control Senadin, pada Jumaat.
Beliau turut menegaskan bahawa penganjuran acara seumpama ini bukan sahaja memberi peluang kepada peserta mempamerkan kemahiran serta inovasi teknologi, malah memainkan peranan penting dalam mempromosikan Miri sebagai destinasi pelancongan dan lokasi penganjuran acara sukan bertaraf tinggi.
Dalam pada itu, beliau memuji kerjasama erat antara penganjur, penaja dan sukarelawan yang menjadi faktor utama kejayaan penganjuran acara tersebut.
“Semangat kesukanan, disiplin dan saling menghormati perlu terus dipupuk dalam kalangan peserta bagi memastikan pertandingan berlangsung dalam suasana harmoni,” ujarnya. -EDISI UKAS