Pendekatan Turun Padang Perkukuh Penyampaian Bantuan
MERADONG: Pendekatan turun padang secara berterusan menjadi kunci utama dalam memastikan setiap bantuan dan inisiatif kerajaan sampai terus kepada penduduk rumah panjang di kawasan Meradong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, interaksi secara langsung dengan masyarakat membolehkan isu sebenar dikenal pasti dengan lebih tepat, sekali gus mempercepatkan tindakan susulan oleh pihak berkaitan.
Menurut beliau, lawatan ke rumah panjang yang dilaksanakan, khususnya menjelang perayaan Gawai, bukan sekadar tradisi tahunan, malah menjadi platform penting untuk menilai keperluan rakyat secara menyeluruh.
“Melalui pendekatan ini, saya bukan sahaja dapat mendekati rakyat, malah memahami permasalahan mereka dengan lebih dekat. Ini membolehkan bantuan dan penyelesaian yang sesuai disalurkan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan Pra Gawai hari kesembilan ke rumah panjang DUN Meradong Tahun 2026 pada Khamis.
Mengulas lanjut, beliau menekankan bahawa kerjasama erat bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) amat penting dalam memastikan setiap maklumat dan bantuan dapat disampaikan dengan cepat dan berkesan.
Ujarnya, sikap proaktif dalam kalangan kepimpinan akar umbi amat penting dalam mewujudkan kesejahteraan masyarakat di kawasan berkenaan.-EDISI UKAS