Baik Pulih & Penyelenggaraan Sistem Pendingin Hawa Berpusat KK Bandaraya Miri Dipercepat Demi Keselesaan Pesakit
MIRI: Kerajaan mengambil pendekatan komprehensif dan berasaskan penilaian teknikal pakar dalam menangani kerosakan sistem pendingin hawa berpusat di Klinik Kesihatan (KK) Bandaraya Miri yang telah berlarutan sejak September 2025.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan kerja pembaikan yang dilaksanakan adalah tepat, berkesan serta mengelakkan kerosakan berulang pada masa hadapan.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke klinik berkenaan susulan aduan orang awam mengenai ketidakselesaan yang dihadapi pesakit dan pengunjung, khususnya dalam keadaan cuaca panas.
Menurutnya, Pejabat Kesihatan Bahagian (PKB) Miri telah bertindak proaktif dengan melantik kontraktor pakar bagi menjalankan analisis teknikal menyeluruh untuk mengenal pasti punca kerosakan sistem tersebut.
“Laporan penilaian teknikal telah diterima pada penghujung Mac lalu dan susulan itu, PKB Miri bersama Jabatan Kesihatan Sarawak telah memohon kelulusan notis perubahan skop serta komponen kerja kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Ekonomi.
“Sejurus kelulusan diperoleh, proses perolehan sebutharga bagi kerja pembaikan akan dilaksanakan dengan kadar segera,” katanya.
Dalam pada itu, langkah mitigasi sementara telah dilaksanakan sejak Oktober 2025 dengan penempatan tujuh unit kipas penyejuk udara berkapasiti 130 liter serta 24 unit kipas penyejuk udara bersaiz 7 liter di ruang menunggu dan bilik rawatan bagi mengurangkan ketidakselesaan.
Pada masa sama, sebuah syarikat kontraktor pendingin hawa tempatan turut tampil menawarkan cadangan pembaikan sementara melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) tanpa melibatkan kos kepada kerajaan, meliputi kerja pengisian gas dan pembaikan kebocoran.
Langkah menyeluruh yang diambil ini dijangka dapat memastikan penyelesaian jangka panjang terhadap isu berkenaan, sekali gus meningkatkan keselesaan dan kualiti perkhidmatan kesihatan kepada rakyat. -EDISI UKAS