MIRI: Kenosis Run 2026 membawa mesej yang lebih besar daripada sekadar aktiviti sukan apabila berperanan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap golongan penghuni penjara dan pusat pemulihan, di samping membantu mengurangkan stigma terhadap mereka.
Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata, setiap individu berhak diberi peluang kedua dan perubahan hanya dapat dicapai melalui sokongan serta penerimaan masyarakat berlandaskan nilai kasih sayang, empati dan tanggungjawab bersama.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa para peserta agar menghayati semangat kesukanan, menjaga keselamatan serta terus menyokong program komuniti yang memberi impak positif kepada masyarakat.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Kenosis Run 2026, di sini, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, beliau menyatakan harapan agar penganjuran program seumpama ini dapat memberi kesan berpanjangan dalam memupuk kesedaran dan keprihatinan sosial dalam kalangan masyarakat.
Turut hadir wakil Pengerusi Kenosis Sarawak Robert Jok, Pengerusi Pelayanan Kebajikan dan Sosial BEM merangkap Penyelaras program Pastor Andy Anyi Wan dan Pengurus Pusat Kenosis Sarawak Pastor Robert Danor. -EDISI UKAS