Kotak Boat Bintawa Diangkat Sebagai Simbol Warisan, MBKS Perkukuh Identiti Komuniti
KUCHING: Elemen warisan tempatan terus diberi nafas baharu apabila sebuah kotak boat yang menjadi simbol sejarah komuniti nelayan Bintawa diangkat semula menerusi projek pengindahan bulatan Bintawa oleh Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).
Majlis pelancaran projek pada Khamis itu telah disempurnakan oleh Datuk Bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng yang turut menyaksikan penyerahan rasmi kotak boat yang telah dibaik pulih kepada wakil komuniti setempat.
Menurut beliau, kewujudan kotak boat di tengah bulatan itu bukan sekadar elemen hiasan, sebaliknya membawa nilai sejarah yang signifikan terhadap pembentukan awal Bintawa sebagai sebuah perkampungan nelayan.
“Bot ini bukan sekadar bot, ia adalah lambang kehidupan masyarakat terdahulu yang bergantung kepada sungai sebagai sumber rezeki dan penghubung utama.
“Ia mencerminkan ketahanan, kesederhanaan dan semangat komuniti Bintawa,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Tambah beliau, inisiatif pengindahan itu bukan hanya memberi nilai estetika kepada kawasan bandar, tetapi juga berfungsi sebagai medium untuk memelihara identiti serta sejarah tempatan agar terus dikenali generasi akan datang.
Dalam masa sama, usaha tersebut dilihat mampu memperkukuh tarikan pelancongan bandar raya Kuching dengan menampilkan elemen penceritaan berasaskan warisan komuniti.
Dato Wee turut merakamkan penghargaan kepada pihak yang terlibat dalam kerja-kerja mengecat semula bot berkenaan termasuk Wan Li Wan Welding Works, Trans Paint Coatings Sdn Bhd serta beberapa pertubuhan komuniti tempatan yang memainkan peranan penting dalam menjayakan inisiatif tersebut.
Sementara itu, warna yang digunakan pada kotak boat berkenaan turut mempunyai makna tersendiri dalam kalangan komuniti nelayan, iaitu merah melambangkan Miri, hijau mewakili Kuching dan hijau kebiruan merujuk kepada Sibu, sekali gus mencerminkan identiti serta jaringan komuniti maritim di Sarawak.
Hadir sama, Timbalan Datuk Bandar MBKS, Dato Zaiedi Suhaili serta wakil-wakil komuniti dan persatuan tempatan.
Projek ini menjadi bukti bahawa pemeliharaan warisan dan pembangunan bandar mampu digerakkan secara seiring melalui kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan dan masyarakat.- EDISI UKAS