Projek Perparitan RM1.1 Juta Di Kampung Sebako Dipergiat, Atasi Risiko Banjir
SEMATAN: Usaha memperkukuh sistem saliran luar bandar terus dipertingkat apabila projek perparitan bernilai RM1.1 juta di Kampung Sebako dilaksanakan melibatkan tiga lokasi utama untuk menangani isu limpahan air dan risiko banjir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, projek berkenaan merupakan antara inisiatif kerajaan dalam memastikan kemudahan infrastruktur asas di kawasan luar bandar sentiasa berada pada tahap baik dan berfungsi secara optimum.
“Pelaksanaan sistem perparitan yang lebih terancang amat penting bagi mengurangkan risiko banjir, khususnya ketika musim hujan, selain menjamin kesejahteraan penduduk setempat,” katanya ketika mengadakan lawatan tapak projek di Kampung Sebako 2, pada Khamis.
Menurut beliau, lawatan tersebut bertujuan meninjau keadaan semasa lokasi projek di samping mendapatkan gambaran menyeluruh berhubung keperluan sebenar kerja-kerja perparitan yang akan dilaksanakan.
Dalam pada itu, beliau turut meneliti cadangan pelaksanaan serta skop kerja bersama pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Kuching bagi memastikan projek berkenaan dapat dilaksanakan secara berkesan dan menepati keperluan kawasan.
Tambah beliau, pendekatan turun padang seperti ini penting bagi memastikan setiap projek yang dirancang memberi impak jangka panjang, khususnya dalam meningkatkan kecekapan sistem pengurusan air di kawasan kampung.
Projek tersebut dijangka memberi manfaat kepada penduduk Kampung Sebako dengan menyediakan sistem saliran yang lebih efisien sekali gus mengurangkan masalah takungan air dan banjir kilat.- EDISI UKAS