Tapak Penetasan Penyu Pantai Pugu Perkukuh Pemuliharaan, Perkasa Peranan Komuniti
LUNDU: Perasmian Tapak Penetasan Telur Penyu di Pantai Pugu mencerminkan komitmen bersepadu antara kerajaan, agensi pelaksana dan komuniti setempat dalam mempergiat usaha pemuliharaan biodiversiti, khususnya spesies penyu yang semakin terancam.
Program anjuran Sarawak Forestry Corporation (SFC) pada Khamis itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh yang menegaskan kepentingan kerjasama pelbagai pihak dalam memastikan kelestarian ekosistem marin.
Menurut beliau, penubuhan tapak penetasan berkenaan bertujuan melindungi kawasan pendaratan penyu, meningkatkan kadar kelangsungan hidup spesies tersebut serta memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemuliharaan alam sekitar.
“Pendekatan kolaboratif ini penting kerana usaha pemuliharaan memerlukan penglibatan semua pihak, termasuk komuniti setempat sebagai rakan strategik,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa kadar kelangsungan hidup penyu secara semula jadi adalah rendah, justeru intervensi melalui penetasan terkawal menjadi langkah penting dalam meningkatkan peluang anak penyu untuk hidup hingga dewasa.
Dalam masa sama, beliau menekankan bahawa pemuliharaan biodiversiti perlu dilaksanakan seiring pembangunan ekonomi, selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan pembangunan mampan dan inklusif.
Sementara itu, Pengurus Besar SFC, Abang Arabi Abang Aimran berkata, inisiatif di Pantai Pugu memperkukuh perlindungan habitat penyu melalui penglibatan aktif komuniti Kampung Pugu, Kampung Belungei dan Kampung Pandan.
Menurutnya, tapak penetasan tersebut bukan sahaja berfungsi sebagai kemudahan pemuliharaan, malah menjadi platform pendidikan alam sekitar serta berpotensi menyokong pembangunan ekopelancongan berasaskan komuniti secara mampan.
Sebagai simbolik program, sebanyak 598 anak penyu dilepaskan ke laut, sekali gus mencerminkan usaha berterusan dalam memastikan kelangsungan spesies itu di habitat semula jadi.
Turut hadir Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap wakil ADUN Tanjong Datu, Abang Abdul Azi Abang Draup, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Morshidi Fredrick, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Wan Sufian Wan Mustapha serta Pegawai Daerah Lundu, Zulkarnain Ismail.
Program ini membuktikan bahawa usaha pemuliharaan bukan sahaja tertumpu kepada perlindungan alam sekitar, malah merangkumi pembinaan kesedaran, penglibatan komuniti dan jaminan kelestarian sumber untuk generasi akan datang. - EDISI UKAS