RM4 Juta Pinjaman HDC Pacu Pembinaan Rumah Panjang Baharu Di Kakus
SELANGAU: Kerajaan Sarawak menerusi Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) telah meluluskan pinjaman RM4 juta bagi empat projek di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus pada tahun ini.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai berkata, peruntukan tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan dalam membantu rakyat memiliki kediaman lebih selesa, khususnya melalui pembinaan rumah panjang baharu.
Menurut beliau, secara keseluruhan, bantuan HDC melibatkan peruntukan RM10 juta daripada Kerajaan Persekutuan dan RM50 juta daripada Kerajaan Sarawak.
Katanya, bagi tempoh 2018 hingga 2025, sebanyak RM7.34 juta telah disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan manakala RM21.779 juta oleh Kerajaan Sarawak.
“Bagi memastikan lebih ramai rakyat dapat menikmati manfaat ini, penerima pinjaman disaran membuat bayaran balik secara konsisten supaya dana ini dapat dikitar semula kepada pemohon lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan simbolik perasmian mendirikan rumah panjang baharu di Rumah Kunjan Anti, di sini, pada Khamis.
Beliau turut menasihatkan penduduk agar mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Tanah dan Survei sebelum membina rumah panjang baharu bagi memastikan kesesuaian tapak serta mengelakkan sebarang pembaziran.
Dalam perkembangan berkaitan, Dato Sri John Sikie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus memaklumkan konstituensi beliau turut menerima limpahan pembangunan melalui ‘Mid Rajang Regional Development Agency’ (MiRRDA) dengan peruntukan RM1 bilion bagi projek infrastruktur serta RM500 juta bagi sektor pertanian termasuk kelapa sawit, kopi dan ternakan.
Pada majlis sama, beliau menyalurkan bantuan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM19,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) melibatkan 19 pintu, selain bantuan Program Pembaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) sebanyak RM4,000 bagi setiap pintu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta dalam ucapannya menyeru rakyat agar terus bekerjasama dalam menjayakan agenda pembangunan di kawasan berkenaan.
Beliau turut mengumumkan peruntukan RM10,000 kepada biro wanita serta bantuan bahan binaan bernilai RM15,000 bagi menyokong pembinaan rumah panjang tersebut.
Hadir sama, wakil Pejabat Daerah Selangau Welson Malian dan Pegawai HDC Brandon De Frank. -EDISI UKAS