Kerajaan Sarawak Komited Bantu Rakyat Depani Cabaran Global
SRI AMAN: Kerajaan Sarawak terus komited dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela meskipun berdepan cabaran ekonomi global yang semakin mencabar pada masa kini.
Ahli Parlimen Sri Aman Dato’ Sri Doris Sophia Brodie berkata, komitmen tersebut jelas melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif termasuk Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) yang memberi manfaat kepada hampir 900,000 rakyat di seluruh negeri.
"Keupayaan tersebut dicapai hasil kekuatan rizab kewangan negeri serta sumber hasil Sarawak sendiri yang kukuh dan mampan," katanya demikian ketika berucap dalam Majlis Santai, Prihatin Menyantuni Rakyat di Rumah Edwin, Sungai Indai Atas pada Khamis.
Beliau turut memaklumkan bahawa Sarawak juga mampu memberikan diskaun bil elektrik sebanyak 25 peratus kepada rakyat kerana memiliki sumber tenaga hidro yang stabil serta kurang terdedah kepada lonjakan harga tenaga di peringkat global.
Jelasnya, rakyat Sarawak harus bersyukur mempunyai kepimpinan dan kerajaan yang berpandangan jauh serta sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat dan masa depan Sarawak sehingga mampu bertahan walaupun dalam keadaan ekonomi global yang sangat mencabar. -EDISI UKAS