Setiap Projek Di Serian Mesti Dilaksana Dengan Cekap, Ikut Jadual
SERIAN: Semua projek pembangunan di Bahagian Serian perlu dilaksanakan dengan cekap dan mengikut jadual ditetapkan bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat tanpa sebarang kelewatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu Dr Simon Sinang Bada berkata, Bahagian Serian kini sedang pesat membangun hasil kerjasama semua pihak termasuk peningkatan peruntukan pembangunan melalui Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) serta penubuhan agensi seperti Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA).
"Saya menggesa agar semua ketua jabatan untuk memastikan setiap projek dilaksanakan dengan cekap dan mengikut jadual bagi mengelakkan projek sakit yang boleh merugikan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Malam Apresiasi Pentadbiran Bahagian Serian bagi tahun 2026 Borneo Empurau Resort & Farm, di sini, pada Khamis.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan agar nilai integriti, amanah dan semangat kerja berpasukan terus dipupuk dalam kalangan penjawat awam.
Dalam pada itu, Dr Simon memberitahu, majlis apresiasi merupakan medium penting dalam sesebuah organisasi untuk mengiktiraf usaha, jasa serta pencapaian kakitangan yang menjadi tulang belakang kepada pelaksanaan dasar dan pembangunan kerajaan, khususnya di Bahagian Serian.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan termasuk pejabat daerah, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Tanah dan Survei (JTS) serta agensi lain yang memainkan peranan penting dalam pembangunan sosioekonomi dan pengurusan bencana di kawasan tersebut. -EDISI UKAS