Program Kesihatan Sri Aman Tingkat Kesedaran Buasir, Kanser Usus
SRI AMAN: Program Ceramah Kesihatan Buasir & Kanser Usus serta Demo Pembuatan Sabun berjaya menarik penyertaan masyarakat setempat dalam usaha meningkatkan kesedaran terhadap penjagaan kesihatan dan gaya hidup sihat yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Hilir, di sini, pada Jumaat.
Program dimulakan seawal jam 7.00 pagi dengan aktiviti Senamrobik Kecergasan yang menggalakkan peserta mengamalkan kehidupan aktif dan sihat.
Aktiviti tersebut turut menyemarakkan suasana program dengan penglibatan pelbagai lapisan masyarakat.
Antara pengisian utama program ialah ceramah berkaitan penyakit buasir dan kanser usus yang memberi pendedahan mengenai punca, faktor risiko, tanda dan gejala, langkah pencegahan serta rawatan awal bagi kedua-dua penyakit tersebut.
Turut diadakan program pemeriksaan kesihatan dan pameran booth bagi memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan maklumat kesihatan secara terus daripada pihak berkaitan.
Ceramah kesedaran alam sekitar serta demo pembuatan sabun turut menjadi tarikan kepada peserta, sekali gus memberi ilmu tambahan berkaitan penjagaan kebersihan dan kelestarian alam sekitar.
Program ini menampilkan fasilitator daripada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) iaitu Prof Dr Kamarudin Bin Kana, Prof Madya Dr Mahani Mohammad Abdu Shakur dan Prof Madya Dr Rosita Hamdan yang berkongsi kepakaran serta ilmu kesihatan kepada masyarakat. -EDISI UKAS