Kerajaan Sarawak Pertimbang Bina Gelanggang Futsal Sendiri
KUCHING: Kerajaan Sarawak bersedia mempertimbangkan pembinaan gelanggang futsal sendiri sekiranya permintaan dan sambutan terhadap sukan itu terus meningkat di negeri ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kerajaan sentiasa mengambil kira keperluan pembangunan fasiliti apabila sesuatu sukan menerima penyertaan yang tinggi daripada masyarakat.
"Kita mungkin akan mempertimbangkan perkara tersebut, namun sudah tentu kita perlu melihat kepada kedudukan bajet terlebih dahulu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Kejohanan Futsal Piala Presiden Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) di Arena Sukan Simpang Tiga, di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Dato Sri Abdul Karim turut tidak menjangka penyertaan ramai untuk kejohanan julung kali itu yang menghimpunkan 34 pasukan dari seluruh Sarawak, bermula dari Tanjong Datu hingga Ba’Kelalan.
Beliau yang juga Presiden SABERKAS berkata, perkembangan positif futsal ketika ini menunjukkan sukan berkenaan semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Sarawak terutamanya daripada kalangan belia.
Justeru katanya, kejohanan ini akan diteruskan dan bakal dilaksanakan setiap tahun menjadikan ia acara tahunan SABERKAS dalam menggalakkan aktiviti sihat melalui sukan.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro merangkap Setiausaha Agung SABERKAS Dr Safiee Ahmad, Ahli Dewan Negara Senator Dato’ Ahmad Dato’ Sri Ibrahim serta dif kehormat lain.-EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Shahril Haqim