MIRI: Hampir 500 kilogram (kg) pukat hantu berjaya dikeluarkan menerusi Program Protect Miri Reefs: Ghost Net Cleanup Operation anjuran Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) sejak pertama kali ia diadakan pada 2019.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang menzahirkan penghargaan terhadap komitmen berterusan NSJA apabila 497 kilogram pukat hantu telah berjaya dikeluarkan dari dasar laut di kawasan taman negara tersebut, sekali gus menjadikan organisasi itu antara yang paling proaktif dalam operasi pembersihan bawah air di Malaysia.
"Inisiatif ini bukan sahaja menyumbang kepada pengurangan pencemaran laut, malah selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG 14: Life Below Water), khususnya dalam usaha melindungi dan memulihkan ekosistem marin serta menangani isu penangkapan ikan secara tidak terkawal akibat pukat terbiar," katanya ketika berucap dalam program tersebut untuk tahun ini pada Isnin.
Tambahnya, pemeliharaan terumbu karang adalah penting dalam memperkukuh kedudukan Miri sebagai destinasi pelancongan mampan.
Katanya, keindahan terumbu karang merupakan aset semula jadi yang bernilai tinggi dan mampu menarik penyelam serta pencinta alam dari seluruh dunia.
Sementara itu, Presiden NSJA Chai Chon Chin berkata, NSJA telah melaksanakan beberapa operasi pembersihan sejak 2019 dengan kejayaan mengumpul hampir 500 kilogram pukat hantu termasuk operasi besar pertama pada Mei 2019 yang mengumpul 193 kilogram, diikuti beberapa siri pembersihan seterusnya walaupun berdepan cabaran termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Beliau turut memaklumkan bahawa NSJA kembali aktif pada tahun 2025 dengan semangat baharu, termasuk menjalankan operasi pembersihan serta memasang mooring line bagi mengelakkan kerosakan terumbu karang akibat sauh bot.
Setakat ini jelasnya, hampir 500 kilogram pukat hantu telah berjaya dikeluarkan, dengan tambahan sebanyak 85 kilogram berjaya dikumpulkan dalam operasi yang dijalankan pada hari ini.
"Peranan media bukan sekadar melaporkan berita, tetapi juga sebagai agen perubahan dalam meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan menjaga alam sekitar," ujarnya. -EDISI UKAS