Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2026 Peringkat Sarawak Peringati Jasa Wira
MIRI: Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2026 Peringkat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak berlangsung penuh istiadat di Bay Jentera Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral, di sini, pada Isnin.
Program yang bermula seawal jam 8.30 pagi itu telah disempurnakan oleh Pengarah JBPM Negeri Sarawak, YS PKPjB Jamri bin Masran, dengan kehadiran Ketua Zon 6 (Miri), PgKB I Ismaidi Ismail serta warga jabatan.
Majlis dimulakan dengan sesi menandatangani buku program diikuti bacaan doa sebelum acara utama iaitu bacaan teks perutusan khas sempena Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia oleh Ketua Pengarah JBPM Dato’ Sri Ts. Nor Hisham Mohammad yang dibacakan oleh PKPjB Jamri.
Dalam perutusan tersebut, Dato Sri Ts Nor Hisham berkata, sambutan yang diraikan pada setiap 4 Mei ini merupakan satu penghormatan bermakna bagi memperingati jasa dan pengorbanan anggota bomba yang telah gugur serta menghargai mereka yang masih bertugas di lapangan.
"Tema 'Memperingati Wira Yang Gugur, Menghargai Pejuang Yang Sedang Bertempur' jelas mencerminkan pengiktirafan terhadap keberanian dan dedikasi warga bomba di seluruh dunia," katanya.
Beliau turut menyeru agar semua warga jabatan terus mengekalkan semangat perjuangan serta menjadikannya sebagai inspirasi dalam memperkukuh perkhidmatan kebombaan.
Dalam pada itu, Dato Sri Ts Nor Hisham memberitahu, aspek kebajikan anggota terus diberi perhatian melalui pelbagai inisiatif termasuk Kumpulan Wang Kebajikan Bomba (KWKB), Koperasi Bomba dan Penyelamat Malaysia (KOBOPEM) serta Persatuan Kebajikan JBPM yang menyediakan bantuan kewangan, perlindungan kebajikan dan sokongan psikososial.
Menurutnya lagi, JBPM akan terus memperkukuh keupayaan operasi melalui penambahbaikan aset, latihan berterusan serta penggunaan teknologi terkini bagi memastikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Majlis turut diserikan dengan acara simbolik penanaman pokok sempena inisiatif “50 Tahun 50 Balai” sebagai tanda komitmen jabatan terhadap kelestarian dan pembangunan masa depan organisasi. -EDISI UKAS