Program Sarawakku Sayang Bintulu Perlu Diselaras Rapi, Pastikan Penganjuran Lancar
BINTULU: Kesiapsiagaan menyeluruh serta penyelarasan rapi antara agensi menjadi keutamaan dalam memastikan kelancaran Program Sarawakku Sayang (SKS) Peringkat Bahagian Bintulu yang dijadual berlangsung dari 22 hingga 24 Mei ini.
Perkara itu ditegaskan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom ketika mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Program SKS Peringkat Bahagian Bintulu Bilangan 3 Tahun 2026 di Wisma Residen Bintulu, pada Isnin.
Dalam mesyuarat itu, fokus utama diberikan kepada aspek logistik dan teknikal di mana setiap agensi yang terlibat diminta memperkemas perancangan dan memperkukuh koordinasi agar segala keperluan dapat dipenuhi dengan efisien.
"Usaha ini penting bagi memastikan kelancaran perjalanan program sepanjang tiga hari penganjurannya," katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena itu menambah, SKS merupakan antara program penting yang akan berlangsung dalam masa terdekat, khususnya bagi Bahagian Bintulu.
Jelasnya, SKS bukan sekadar acara, tetapi sebuah platform strategik untuk kerajaan berkongsi pelbagai inisiatif inklusif serta kejayaan pembangunan negeri.
"Sebagai contoh, Bintulu yang dahulu dikenali dari hanya pekan nelayan dan kini berkembang menjadi bandar industri seperti Samalaju yang telah menjadi kawasan industri utama bagi bandar Bintulu," ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Felicia Tan Ya Hua turut berkongsi pengalaman penganjuran SKS di Limbang dan Miri telah berjalan dengan berjalan lancar serta menerima sambutan menggalakkan daripada masyarakat.
Beliau mencadangkan agar jawatankuasa di peringkat Bahagian Bintulu menjadikan kedua-dua lokasi tersebut sebagai penanda aras dalam memperkasa pelaksanaan program SKS di Bintulu kelak. -EDISI UKAS
Kredit Gambar: Pejabat Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak