MIRI: Perpaduan dan amalan toleransi antara agama terus menjadi asas kekuatan Sarawak.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, masyarakat perlu terus memupuk sikap saling menghormati antara agama serta mengekalkan keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat yang menjadi identiti unik Sarawak.
Menurut beliau, sambutan Hari Wesak bukan sahaja signifikan kepada penganut Buddha, malah membawa mesej sejagat tentang keperluan memperbaiki diri, meningkatkan nilai kemanusiaan serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
“Tidak kira setinggi mana kedudukan atau sebanyak mana kekayaan seseorang, akhirnya kita semua akan melalui pengakhiran yang sama.
“Justeru, sepanjang kehidupan ini, adalah penting untuk kita melakukan kebaikan dan memberi sumbangan kepada masyarakat,” katanya ketika menghadiri sambutan awal Hari Wesak anjuran Persatuan Buddha Mi Tuo Jin Yuan Miri, di sini, pada Jumaat.
Beliau turut mengingatkan bahawa dunia kini berdepan ketidaktentuan akibat konflik dan peperangan yang memberi kesan kepada ekonomi global serta kehidupan rakyat, sekali gus menegaskan kepentingan mengekalkan keamanan dan kestabilan.
Mengulas lanjut, beliau berkata Kerajaan Sarawak mengamalkan dasar inklusif dengan memberi layanan sama rata kepada semua agama, termasuk menyediakan peruntukan khas bagi pembangunan dan penyelenggaraan rumah ibadat bukan Islam melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).
“Pada tahun lalu sahaja, Kerajaan Sarawak telah menyalurkan kira-kira RM90 juta bagi membantu pelbagai organisasi keagamaan di seluruh negeri,” jelasnya lagi. -EDISI UKAS