Simunjan Tuan Rumah Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Samarahan
SIMUNJAN: Daerah Simunjan diberi penghormatan sebagai tuan rumah Majlis Tilawah Al-Quran peringkat Bahagian Samarahan yang dijadual berlangsung pada 6 dan 7 Mei ini.
Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee berkata, penganjuran majlis berkenaan mencerminkan keyakinan terhadap kemampuan Simunjan sebagai lokasi penganjuran program keagamaan berskala besar.
"Saya menyeru seluruh jawatankuasa penganjur dan warga Simunjan agar memberikan komitmen padu bagi memastikan penganjuran di peringkat bahagian tersebut berjalan lancar, tersusun dan mencapai standard terbaik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Simunjan di Dewan Muhibbah Kampung Kelka, pada Khamis.
Dalam pada itu, Rodiyah memberitahu, Majlis Tilawah Al-Quran dan Pertandingan Nasyid peringkat Daerah Simunjan bagi tahun 1447H/2026M menjadi wadah penting dalam membina kesedaran ummah serta mengangkat martabat Al-Quran sebagai panduan hidup seharian.
Ujarnya, program tahunan itu bukan sahaja menyemarakkan syiar Islam, malah berperanan mencungkil bakat di peringkat akar umbi bagi melahirkan qari dan qariah yang berpotensi mewakili daerah ke peringkat lebih tinggi.
“Ini membuktikan majlis keagamaan seperti ini mampu menarik minat semua lapisan masyarakat, khususnya generasi muda agar tidak hanya leka dengan gajet atau media sosial, sebaliknya membina akhlak berteraskan Al-Quran,” ujarnya.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris. -EDISI UKAS