Muhamad Aidil Haqimi dan Hamdiah Suhai Ungguli Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Simunjan
SIMUNJAN: Muhamad Aidil Haqimi Abdullah dari Kampung Sageng Ulu dan Hamdiah Suhai dari Kampung Lintang Hijrah dinobatkan qari dan qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Simunjan Tahun 1447H/2026M yang berlangsung di Dewan Muhibbah Kampung Kelka, malam Khamis.
Muhamad Aidil Haqimi Abdullah dinobatkan sebagai johan kategori qari selepas mencatatkan 74 peratus markah keseluruhan.
Bagi kategori qariah pula, Hamdiah Suhai dari Kampung Lintang Hijrah berjaya merangkul gelaran johan dengan 85 peratus markah.
Sebagai penghargaan, kedua-dua johan menerima RM700 wang tunai, hadiah iringan serta sijil penyertaan.
Tempat kedua kategori qari dimenangi oleh Hafzan Izzudin Abdul Hamid dari Kampung Sageng, manakala kategori qariah disandang oleh Sh. Rabiah Wan Muhamad dari Taman Hijrah dengan kedua-dua mereka membawa pulang RM500, hadiah iringan dan sijil.
Tempat ketiga pula menjadi milik Zaqwan Haziq Mohamad dari Kampung Sageng Ulu dan Dewi Chik dari Taman Hijrah yang masing-masing menerima RM300 berserta hadiah iringan dan sijil.
Dalam pada itu, pertandingan nasyid turut menceriakan majlis apabila Kumpulan Nabil Nadawi muncul johan menerusi persembahan lagu “Ikrar”, sekali gus membawa pulang RM800 serta piala iringan.
Kumpulan Nur Sinar meraih tempat kedua dengan lagu “Menuju Syurga Mu” dan menerima RM700 berserta piala iringan, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Kumpulan Qurratuain melalui lagu “Doa” dengan hadiah RM600 dan piala iringan.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee diiringi bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris. -EDISI UKAS