Supersub Mpacko Wira KCFC, Bangkit Tumbangkan Terengganu FC 2-1
KUCHING: Aksi dramatik di Stadium Negeri menyaksikan kebangkitan luar biasa Kuching City FC (KCFC) apabila penyerang import, Jerome Mpacko muncul wira untuk menghadiahkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Terengganu FC dalam aksi Liga Super 2026, pada Jumaat.
Di hadapan 5,465 penyokong setia, pasukan tuan rumah tersentak apabila pelawat terlebih dahulu merobek gawang seawal minit ke-12 menerusi tandukan Shervoni Mabatshoev hasil sepakan sudut yang mengelirukan benteng KCFC.
Tersentak dengan jaringan awal itu, KCFC meningkatkan intensiti permainan dengan asakan demi asakan dilancarkan.
Namun, tandukan Yuki Tanigawa pada minit ke-22 dan percubaan ketua pasukan, James Okwuosa pada masa kecederaan gagal menemui sasaran, menyaksikan tuan rumah ketinggalan 0-1 pada separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, anak buah Aidil Sharin Sahak tampil lebih agresif dengan strategi serangan berterusan.
Bagaimanapun, gerakan Petrus Shitembi dan Muhammad Ariff Farhan beberapa kali menguji kecekapan penjaga gol pelawat, Muhammad Rahadiazli Rahalim yang kekal kental menyerap tekanan.
Detik kebangkitan akhirnya tiba apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada The City Boys selepas semakan VAR mendapati berlaku kekasaran ke atas Ramadhan Saifullah di dalam kotak penalti.
Ronald Ngah Wanja tenang menyempurnakan peluang itu pada minit ke-64 untuk menyamakan kedudukan, sekali gus menghidupkan semula harapan penyokong tuan rumah.
Perlawanan terus memuncak dengan aksi berbalas serangan.
Percubaan berbahaya Shitembi pada minit ke-75 serta tandukan Gabriel Nistelrooy sebelumnya berjaya dinafikan Rahadiazli, yang tampil cemerlang di bawah palang.
Namun, kemuncak drama hadir pada minit ke-80.
Masuk sebagai pemain gantian, Mpacko membuktikan sentuhan berbisa apabila pantas menyambar bola muntah selepas percubaan awalnya terkena tiang sebelum tenang menolak masuk gol kemenangan, sekali gus memadam kebangkitan Sang Penyu.
Kemenangan itu bukan sahaja menghadiahkan tiga mata berharga, malah melonjakkan KCFC ke tangga kedua liga dengan 47 mata, satu mata mengatasi Selangor FC, meneruskan pemburuan slot ke Liga Juara-Juara AFC Elit tahun hadapan.- EDISI UKAS