BIRDCOM Percepat Pembangunan Luar Bandar Bintulu, Perkukuh Infrastruktur
BINTULU: Penubuhan Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar Bintulu (BIRDCOM) menjadi pemacu utama dalam mempercepat pembangunan infrastruktur serta menyelaras pelaksanaan projek luar bandar secara lebih bersepadu di kawasan ini.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, inisiatif tersebut memastikan pelaksanaan pembangunan lebih tersusun, inklusif dan berimpak tinggi kepada rakyat.
Menurut beliau, kerajaan negeri turut mengambil langkah proaktif dengan bersetuju mengambil alih jalan balak lama untuk dinaik taraf bagi kegunaan penduduk.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan masyarakat luar bandar terus menikmati kemudahan yang setara dengan kawasan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Mantar Gawai Dayak Sebauh 2026 di Restaurant Dinner World pada Jumaat.
Sementara itu, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, pelaksanaan BIRDCOM selari dengan usaha agensi pembangunan lain dalam memperluas jaringan infrastruktur asas.
Menurut beliau, cadangan pembangunan melibatkan kawasan Tatau, Sebauh, Bintulu dan Samalaju telah dikemukakan bagi memenuhi keperluan rakyat.
“Masih banyak kawasan yang belum mempunyai jalan dan dianggarkan sekitar RM1.17 bilion diperlukan bagi membangunkan infrastruktur jalan di kawasan tersebut,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa skala keperluan tersebut mencerminkan cabaran besar pembangunan luar bandar yang memerlukan perancangan menyeluruh serta pelaksanaan berfasa.
Turut hadir Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Majang Renggi, ADUN Jepak Iskandar Turkee, Residen Bahagian Bintulu Datu Nyurak Keti serta Pegawai Daerah Sebauh Thaddeus Ling Bartholomew Allu.
Inisiatif BIRDCOM mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam mempercepat pembangunan luar bandar secara bersepadu, sekali gus meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat.- EDISI UKAS