Kesedaran Masyarakat Kunci Hadapi Realiti Penuaan di Sarawak
KUCHING: Kesedaran masyarakat terhadap realiti penuaan amat penting dalam membentuk sikap lebih prihatin, memahami serta bertanggungjawab terhadap keperluan warga emas, selaras dengan peningkatan populasi golongan tersebut di Sarawak.
Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Kho Teck Wan berkata, penerimaan dan pemahaman terhadap perubahan yang dialami warga emas akan membantu membentuk masyarakat yang lebih penyayang dan inklusif.
“Kita perlu faham bahawa apabila usia meningkat, mereka memerlukan lebih perhatian dan sokongan.
“Apabila ada kesedaran itu, kita tidak mudah berasa tertekan, sebaliknya lebih bersedia untuk membantu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mewakili Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian pada Program Kesedaran Kesihatan Warga Emas: Age Well With Growing Resilience and Cognitive Empowerment (GRACE) di Tropics City Kuching, pada Sabtu.
Menurut Kho, Sarawak dijangka menjadi antara negeri terawal mencapai status masyarakat menua di Malaysia, dengan kawasan luar bandar mengalami kadar penuaan lebih pantas berikutan penghijrahan golongan muda ke bandar.
Tambah beliau, peningkatan jumlah warga emas turut memberi implikasi kepada aspek kewangan apabila bilangan pembayar cukai berkurangan, sedangkan kos rawatan kesihatan semakin meningkat.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan Sarawak telah melaksanakan beberapa inisiatif termasuk Kenyalang Gold Card (KGC) yang menawarkan diskaun bagi keperluan harian, perkhidmatan farmasi dan pemeriksaan kesihatan.
Selain itu katanya, kerajaan negeri juga melaksanakan Skim Manfaat Kesihatan Warga Emas (SCHB) dengan menyediakan kredit tahunan RM500 kepada golongan berusia 60 tahun ke atas yang layak bagi mendapatkan rawatan asas di klinik swasta dan perkhidmatan pergigian.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, tanggungjawab menjaga warga emas bukan hanya terletak pada kerajaan, sebaliknya memerlukan penglibatan seluruh masyarakat.
Turut hadir ialah Datuk Bandar Kuching Selatan Dato Wee Hong Seng.-EDISI UKAS