Bee Happy Camp Perkukuh Jaringan Komuniti, Pacu Pembangunan Insaniah
MIRI: Program pembangunan diri Bee Happy Camp menjadi platform berimpak dalam memperkukuh jaringan komuniti serta meningkatkan kemahiran insaniah melalui pendekatan pembangunan sosial yang lebih tersusun.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (Pelancongan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, inisiatif seumpama itu penting dalam membina hubungan sosial yang kukuh serta menyokong pembangunan masyarakat secara menyeluruh.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penutupan kursus Bee Happy Camp di Hotel Dynasty, pada Jumaat sempena Sambutan Hari Pekerja Sedunia 2026.
Program anjuran SUPP Cawangan Piasau dengan kerjasama Miri Youth Activity Centre (MYAC) dan Persatuan Toastmasters Miri itu memberi penekanan kepada pembangunan diri serta pengukuhan kemahiran komunikasi peserta.
Menurut beliau, komitmen berterusan ahli jawatankuasa, sayap wanita dan pemuda serta ahli SUPP Piasau menjadi pemangkin kepada kejayaan pelaksanaan program komuniti yang berimpak.
“Program seperti ini perlu diteruskan kerana mampu memperkukuh hubungan silaturahim serta memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Tambah beliau, pendekatan berasaskan pembangunan insan melalui program komuniti mampu melahirkan masyarakat yang lebih berdaya tahan, berkemahiran dan progresif.
Penganjuran Bee Happy Camp mencerminkan usaha berterusan dalam memperkasa komuniti melalui pendekatan inklusif yang menekankan pembangunan sahsiah, kemahiran serta jaringan sosial.-EDISI UKAS