RM130,000 Untuk Pembangunan Infrastruktur & PIBG SMK Lubok Antu
LUBOK ANTU: Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi telah menyalurkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM130,000 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok Antu.
Menurut beliau, peruntukan tersebut merangkumi RM100,000 di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi kerja-kerja baik pulih sekolah serta sumbangan RM30,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Lubok Antu.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Merarau anjuran PIBG sekolah berkenaan yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan Daerah Lubok Antu, pada Sabtu.
Menurut beliau, pelaburan dalam kemudahan sekolah dan pengukuhan peranan PIBG amat penting dalam memastikan persekitaran pembelajaran yang kondusif serta menyokong kecemerlangan akademik pelajar.
“Kerjasama erat antara pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti merupakan asas penting dalam melahirkan generasi berilmu, berdaya saing dan berakhlak,” katanya.
Menyentuh mengenai program, beliau menjelaskan Majlis Merarau yang dianjurkan oleh PIBG SMK Lubok Antu itu bertujuan mengeratkan hubungan antara pihak sekolah, ibu bapa serta komuniti setempat dalam usaha memperkasakan pembangunan pendidikan di kawasan berkenaan. -EDISI UKAS