MUKAH: Kepelbagaian kaum, agama dan budaya di Sarawak terus menjadi asas kukuh dalam mengekalkan keharmonian masyarakat serta menyokong agenda pembangunan negeri.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, masyarakat berbilang kaum di negeri ini kekal bersatu dan saling bekerjasama meskipun berbeza latar belakang.
“Perbezaan yang kita miliki bukan penghalang, sebaliknya kekuatan yang menyatukan rakyat Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Premier Sarawak pada Majlis Perasmian Kaul dan Keman Kaul 2026 di Tapak Pesta Kaul, pada Sabtu.
Menurut beliau, kepelbagaian yang menjadi identiti Sarawak perlu terus dipelihara kerana ia merupakan elemen penting dalam membina masyarakat yang stabil dan progresif.
Beliau turut mengimbau kiasan Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang menyifatkan Sarawak sebagai gabungan anak-anak sungai yang akhirnya bersatu menjadi satu aliran besar.
Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah berkata penganjuran Kaul Mukah wajar diteruskan sebagai platform memperkukuh perpaduan rakyat, selain mempromosikan keunikan budaya tempatan termasuk makanan tradisional, fesyen dan kraftangan.
“Program seperti ini penting bagi memastikan Sarawak terus maju dan makmur selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030,” katanya.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan RM50,000 kepada Persatuan Melanau Mukah bagi menyokong aktiviti persatuan berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Induk Kaul Mukah 2026 merangkap ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, Persatuan Melanau Mukah (PMM) telah memperkenalkan pendekatan baharu dalam penganjuran Kaul Mukah.
Katanya, festival tersebut kini ditransformasikan daripada sekadar upacara ritual kepada acara kebudayaan bertaraf besar yang menggabungkan elemen tradisional dengan pengurusan moden.
“Inisiatif ini melibatkan penggunaan teknologi serta penambahbaikan prasarana bagi memastikan penganjuran lebih teratur, dinamik dan mesra pengunjung.
“Langkah ini penting untuk memastikan Kaul Mukah kekal relevan serta mampu menarik minat generasi muda dan pelancong antarabangsa tanpa menjejaskan nilai sejarahnya,” katanya.
Tambah beliau, usaha tersebut menjadikan Kaul Mukah bukan sekadar acara tahunan, tetapi festival berprestij yang menepati piawaian pengurusan acara yang tinggi.- EDISI UKAS