48 Projek RMK12 Percepat Pembangunan Mukah Sebagai Hab Ekonomi Baharu
MUKAH: Pelaksanaan 48 projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) memperkukuh momentum transformasi Mukah sebagai pusat pertumbuhan ekonomi baharu di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, daripada jumlah itu, sebahagian projek telah siap manakala selebihnya sedang dilaksanakan secara berperingkat.
Menurut beliau, pembangunan infrastruktur menjadi keutamaan dengan peruntukan melebihi RM4 bilion disalurkan bagi projek jalan raya dan jambatan di Bahagian Mukah.
“Pelaburan besar ini penting untuk meningkatkan jaringan perhubungan serta merangsang aktiviti ekonomi di kawasan ini,” katanya ketika berucap mewakili Premier Sarawak pada Majlis Perasmian Kaul dan Keman Kaul 2026 di Tapak Pesta Kaul, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Datuk Amar Awang Tengah berkata Mukah kini berada pada kedudukan strategik untuk berkembang sebagai hab digital dan inovasi, selaras dengan pembangunan infrastruktur serta pengukuhan sektor pendidikan.
Katanya, kehadiran institusi seperti Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak Kampus Mukah menjadi pemangkin dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
“Gabungan pendidikan dan latihan teknikal ini menyokong usaha menjadikan Mukah sebagai pusat berasaskan pengetahuan, teknologi dan inovasi,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata Mukah turut mempunyai potensi besar dalam sektor pertanian moden dan ekonomi biru, memandangkan kedudukannya yang berhadapan laut.
Menurutnya, selain industri perikanan dan akuakultur, kawasan itu berpotensi diterokai dalam pembangunan sektor maritim, marin serta tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga ombak.
“Ini membuka peluang baharu kepada pembangunan ekonomi yang lebih mampan dan berdaya saing pada masa hadapan,” katanya.
Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Mukah Dato Hanifah Hajar Taib, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri (Pembangunan Infrastruktur) Sarawak Datuk Ir. Aidel Lariwoo, Pengerusi Persekutuan Persatuan Melanau Sarawak Tan Sri Dato Sri Dr. Muhammad Leo Michael Toyad Abdullah, ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi, ADUN Tellian Royston Valentine, ADUN Jepak Iskandar Turkee serta tetamu lain.- EDISI UKAS