Ketibaan TYT Sarawak Serta Isteri Di Sebuyau Disambut Meriah
SEBUYAU: Kembara D’ Astana Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi singgah di Daerah Sebuyau dan disambut dalam suasana penuh istiadat dan meriah.
Rombongan tiba di Terminal Jeti Sebuyau pada jam 2.45 petang Sabtu disambut oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau Dato Sri Julaihi Narawi.
Turut memeriahkan acara sambutan ialah persembahan hadrah dan silat yang mencerminkan keunikan budaya masyarakat tempatan dalam menyambut kehadiran tetamu kenamaan.
Sejurus selesai acara sambutan, beliau berdua bersama rombongan turut meluangkan masa menziarahi ahli keluarga yang sedang berdukacita atas pemergian ahli keluarga mereka di sekitar kampung baru Sebuyau.
Seterusnya, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah berangkat ke Pejabat Daerah Sebuyau untuk sesi rehat sebelum meneruskan jadual rasmi lawatan ke Masjid Al-Muflihin bagi menghadiri majlis keagamaan bersama masyarakat.
Turut hadir, Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang dan Pegawai Daerah Sebuyau Ayuradiman Bujang. -EDISI UKAS