BAU: Pasukan Opar menjuarai kategori Pemuda Kejohanan Bola Sepak Piala Prima Bidayuh 2026 selepas menewaskan Mambong 3-1 dalam aksi final yang berlangsung sengit, sekali gus mengesahkan keunggulan mereka pada edisi kali ini.
Perlawanan akhir tersebut menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi bertenaga, namun kecekapan penyudah serta disiplin tinggi pasukan Opar menjadi faktor penentu kemenangan.
Tempat ketiga bersama pula menjadi milik pasukan Bukit Semuja dan Tarat yang turut menunjukkan prestasi konsisten sepanjang kejohanan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang yang hadir menyaksikan perlawanan akhir itu menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian pasukan Opar serta semangat kesukanan yang dipamerkan semua pasukan bertanding.
Menurut beliau, kejohanan seumpama ini bukan sahaja berperanan sebagai platform mencungkil bakat baharu dalam kalangan belia, malah menjadi medium penting dalam memperkukuh perpaduan komuniti Bidayuh di kawasan tersebut.
“Kejohanan ini membuktikan bahawa sukan mampu menyatukan masyarakat serta melahirkan generasi belia yang berdisiplin dan berdaya saing,” katanya. -EDISI UKAS