RM355,000 Peruntukan Perkasa SK St Lawrence Sabu, Fokus STEM & Infrastruktur Prasekolah
SIMANGGANG: Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM355,000 bagi menyokong pembangunan Sekolah Kebangsaan (SK) St Lawrence Sabu.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata, peruntukan tersebut merangkumi RM5,000 di bawah Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi pembelian Robotik Kit untuk menggalakkan minat murid dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Sementara itu, sebanyak RM350,000 di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) pula adalah untuk pembinaan bangunan prasekolah yang dijadualkan pada tahun 2027.
Menurut beliau, pelaburan dalam pendidikan khususnya dalam bidang STEM amat penting bagi meningkatkan kebolehpasaran generasi muda serta memastikan anak Sarawak bersedia menghadapi keperluan ekonomi masa hadapan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Merarau anjuran PIBG SK St Lawrence Sabu, di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan komitmen kerajaan Sarawak menyediakan pendidikan tinggi percuma melibatkan 64 program pengajian di institusi milik kerajaan negeri seperti Universiti Teknologi Sarawak, Swinburne University of Technology Sarawak, Curtin University Malaysia dan i-CATS University College.
“Kerajaan Sarawak turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan pendidikan termasuk bantuan komputer riba, baucar buku, bantuan graduan pulang ke Sarawak serta bantuan kewangan khas bagi menyokong pelajar,” katanya.
Pada majlis sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang itu turut menyaksikan penyampaian cek MRP sebanyak RM10,000 kepada Lembaga Pengurusan Sekolah sebagai sokongan tambahan kepada pembangunan sekolah. -EDISI UKAS