ADUN Dalat Santuni Mangsa Rumah Runtuh, Salur Bantuan Segera
DALAT: Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah turun padang menyantuni keluarga mangsa kejadian runtuhan rumah di Kampung Bakong Hilir, pada Sabtu.
Ketika ditemui, beliau berkata, lawatan tersebut bertujuan meninjau sendiri keadaan keluarga terjejas serta memastikan bantuan segera disalurkan dengan cepat dan berkesan.
Dalam kejadian itu, bahagian dapur rumah milik Yusuf Long dilaporkan runtuh sepenuhnya, sekali gus menjejaskan keadaan kediaman keluarga berkenaan.
Susulan insiden tersebut, beberapa bentuk bantuan telah disampaikan bagi meringankan beban mangsa, termasuk sumbangan tunai RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui Tabung Bantuan Segera.
Selain itu, keluarga terbabit turut menerima bantuan daripada Pusat Khidmat Dalat, bakul makanan serta kit Petronas bagi memenuhi keperluan asas sementara.
Dato Sri Fatimah menegaskan, penyaluran bantuan segera ini penting bagi memastikan kebajikan mangsa terus terpelihara, khususnya dalam menghadapi situasi kecemasan seperti ini.- EDISI UKAS