Tinjauan Projek Surau Ansorullah Bukti Komitmen Perkasa Kemudahan Keagamaan di Sibu
SIBU: Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Datuk Dr Annuar Rapaee serta ADUN Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek turun padang meninjau perkembangan projek pembinaan Surau Ansorullah di Kampung Saujana, Jalan Jerewit, pada Sabtu.
Lawatan berkenaan bertujuan melihat sendiri status kemajuan projek selain mendapatkan taklimat terkini daripada pihak pelaksana.
Menurut Datuk Dr Annuar, pembinaan surau itu amat penting sebagai pusat ibadah dan aktiviti komuniti khususnya bagi penduduk Kampung Saujana dan kawasan sekitarnya.
Beliau berharap projek tersebut dapat disiapkan mengikut jadual agar kemudahan itu dapat dimanfaatkan oleh penduduk dalam masa terdekat.
Pada masa sama, beliau menekankan kepentingan kerjasama erat antara kontraktor, jawatankuasa kampung serta agensi berkaitan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek.
Tinjauan itu mencerminkan komitmen berterusan wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam memastikan pembangunan kemudahan awam dan keagamaan terus diperkasa demi kesejahteraan rakyat.
Untuk rekod, Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.2 juta bagi pembinaan Surau Ansorullah yang dijangka menjadi pemangkin kepada pengukuhan aktiviti keagamaan dan sosial serta mempererat hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk setempat.- EDISI UKAS