Wanita Diperkasa Sebagai Pemangkin Ekonomi dan Pembangunan Komuniti
BETONG: Peranan wanita dalam pembangunan komuniti kini semakin diiktiraf apabila mereka bukan sahaja berperanan dalam institusi keluarga, malah turut menyumbang secara signifikan dalam bidang kepimpinan, ekonomi dan pentadbiran.
Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata, walaupun wanita berdepan pelbagai cabaran khususnya dalam aspek pentadbiran, kerajaan terus komited menyediakan pelbagai inisiatif termasuk latihan kemahiran secara percuma seperti seni kraf dan jahitan bagi memperkasa golongan tersebut dalam sektor ekonomi.
Menurut beliau, platform seperti Biro Wanita perlu dimanfaatkan sepenuhnya sebagai medium untuk menjana pendapatan keluarga serta meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk rumah panjang.
"Biro Wanita mestilah menjadi tonggak utama dalam menjana ekonomi keluarga serta rumah panjang masing-masing.
“Gunakan platform ini untuk mencungkil potensi dalam bidang kraf tangan, makanan, dan pemeliharaan adat yang boleh dijadikan sumber pendapatan tetap," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Merarau Sempena Ulang Tahun Ke-45 Rumah Panjang Saka anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Biro Wanita Rumah Panjang Saka, di Rumah Amin Renang, Saka, Betong pada Sabtu.
Dalam pada itu, Dato Dr Richard turut menekankan kepentingan wanita untuk menyesuaikan diri dengan arus pemodenan dengan meneroka platform digital, termasuk memanfaatkan latihan pemasaran media sosial yang disediakan kerajaan bagi membantu usahawan tempatan meluaskan pasaran produk.
Selain itu, beliau mencadangkan agar JKKK bersama Biro Wanita Rumah Panjang Amin, Saka, Betong merangka perancangan pembangunan produk kraf secara tahunan yang lebih tersusun bagi memastikan kesinambungan dan kelestarian sumber pendapatan komuniti rumah panjang.
Dalam majlis sama, beliau turut mengumumkan sumbangan dana berjumlah RM5,000 kepada Biro Wanita rumah panjang berkenaan bagi membantu penganjuran aktiviti.-EDISI UKAS