Sharvel Iris Juara ‘Teluwaih Jinih 2026’ Pesta Kaul Mukah
MUKAH: Sharvel Iris Sebastian Umat dinobatkan sebagai ‘Teluwaih Jinih 2026’ dalam pertandingan ratu cantik sempena Pesta Kaul Mukah yang berlangsung di Pentas Utama Kaul, Pantai Kala Dana, di sini, pada Jumaat.
Pertandingan yang menjadi acara kemuncak festival budaya masyarakat Melanau itu menyaksikan gadis berusia 22 tahun dari Mukah itu menewaskan 11 peserta lain, sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 berserta piala.
Kejayaan beliau turut diperkukuh apabila merangkul gelaran Teluwaih Jinih Photogenic 2026.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib.
Smeentara itu, naib juara dimenangi oleb Rohadatul Arissa Abdullah yang membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 selain turut merangkul anugerah Miss Charity dan Best Catwalk.
Tempat ketiga pula menjadi milik Nurul Dhabitah Sebli @ Ramlee yang membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 serta memenangi anugerah Miss Favourite.
Manakala, anugerah Tatarias Terbaik dimenangi oleh Nuraisha Irdina Zulkirnain.
Teluwaih Jinih, yang bermaksud “wanita cantik” dalam bahasa Melanau, merupakan pertandingan ratu tahunan yang diadakan sejak 2008 sempena Pesta Kaul Mukah.
Penganjuran pertandingan ini bertujuan mempromosikan budaya dan warisan masyarakat Melanau, khususnya dalam memperagakan busana tradisional dan kontemporari, di samping menjadi platform kepada wanita Melanau menonjolkan bakat serta kebolehan dalam bidang peragaan dan komunikasi.
Turut hadir semasa prgram berkenaan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi, ADUN Tellian Royston Valentine serta Pengerusi Persekutuan Persatuan Melanau Sarawak Tan Sri Dato Sri Dr. Muhammad Leo Michael Toyad Abdullah.-EDISI UKAS