Khatam Al-Quran Bukan Sekadar Tamat Bacaan, Murid Digesa Hayati Ajarannya – Ahmad Johnie
DARO: Murid yang berjaya menyempurnakan bacaan Al-Quran diingatkan supaya tidak berhenti setakat khatam, sebaliknya terus memahami, menghayati dan mengamalkan ajarannya sebagai panduan membentuk akhlak serta keperibadian diri.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, Al-Quran bukan sekadar kitab untuk dibaca dan ditamatkan bacaannya, tetapi perlu dijadikan pedoman dalam kehidupan seharian.
“Kejayaan murid menamatkan bacaan Al-Quran wajar diberikan penghargaan dan dijadikan dorongan untuk terus mendalami ajaran Islam,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Khatam Al-Quran di Sekolah Kebangsaan (SK) Pangtray, di sini pada Sabtu.
Majlis itu menyaksikan seramai 16 murid Tahun Enam menyempurnakan bacaan Al-Quran dan menghimpunkan kira-kira 100 peserta.
Ahmad Johnie turut merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah, guru-guru Al-Quran dan ibu bapa atas komitmen serta bimbingan berterusan dalam mendidik anak-anak mendekati kitab suci itu.
Beliau berharap murid-murid terus menjadikan Al-Quran sebagai pedoman dalam setiap langkah kehidupan, sekali gus membentuk diri menjadi insan berakhlak mulia. -EDISI UKAS