70.2 Peratus Kes Kehamilan Remaja Di Sarawak Pada 2025 Libatkan Remaja Tidak Berkahwin
MUKAH: Meskipun kes kehamilan remaja di Sarawak menurun 11.5 peratus pada 2025, peningkatan peratusan remaja hamil yang tidak berkahwin daripada 63.6 peratus kepada 70.2 peratus masih menjadi kebimbangan dan memerlukan pendekatan pendidikan serta pencegahan lebih menyeluruh.
Pegawai Pendidikan Daerah Mukah, Awang Yusri Awang Adeni berkata, pendidikan kesihatan seksual perlu diperluas ke peringkat komuniti bagi memastikan remaja, kanak-kanak dan ibu bapa mendapat pengetahuan serta bimbingan yang tepat.
“Program Kesedaran dan Advokasi Pendidikan Seksual (KAPS) tidak seharusnya terhad kepada pelajar di sekolah, sebaliknya perlu melibatkan keluarga dan masyarakat bagi menangani isu kehamilan remaja secara lebih berkesan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program KAPS Peringkat Bahagian Mukah, pada Sabtu.
Berdasarkan statistik Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), negeri ini merekodkan 1,770 kes kehamilan remaja pada 2025, bersamaan 6.6 peratus daripada keseluruhan kes baharu antenatal.
Jumlah itu bagaimanapun menunjukkan penurunan 11.5 peratus berbanding tahun sebelumnya, sekali gus melepasi sasaran kerajaan negeri untuk mengurangkan kes kehamilan remaja sekurang-kurangnya 10 peratus setiap tahun.
Daripada keseluruhan kes berkenaan, 62.9 peratus melibatkan remaja berusia antara 18 hingga 19 tahun.
Awang Yusri berkata, Majlis Pembangunan Sosial (MPS) dengan kerjasama Jawatankuasa One Stop Teenage Pregnancy Committee (OSTPC) telah melaksanakan 83 siri KAPS di sekolah menengah dan empat siri di sekolah rendah sepanjang 2016 hingga 2025.
Pelaksanaan inisiatif itu menyumbang kepada penurunan kes kehamilan dalam kalangan remaja yang masih bersekolah daripada 142 kes pada 2016 kepada 63 kes pada 2025, iaitu pengurangan sebanyak 55.6 peratus.
Beliau menegaskan pendidikan kesihatan seksual tidak seharusnya dianggap sebagai perkara tabu kerana remaja perlu memahami risiko, tanggungjawab dan batasan diri melalui maklumat yang tepat.
Beliau turut menggesa ibu bapa mengamalkan komunikasi terbuka dengan anak-anak supaya mereka mendapat bimbingan sewajarnya, selain mengelakkan stigma terhadap remaja yang berdepan kehamilan. -EDISI UKAS