Padang Futsal dan Pickleball Demak Baru Fasa 1 Perkasa Aktiviti Komuniti
KUCHING: Pembukaan Padang Futsal dan Pickleball Demak Baru Fasa 1 menjadi platform baharu bagi menggalakkan penglibatan masyarakat setempat dalam aktiviti sukan, selain mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU & Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, kemudahan tersebut bukan sahaja boleh dimanfaatkan untuk aktiviti sukan, malah turut menjadi ruang bagi pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Beliau turut menggalakkan penganjuran pertandingan futsal dan pickleball sebagai platform mencungkil bakat baharu, khususnya dalam kalangan golongan muda, di samping membudayakan gaya hidup sihat dalam masyarakat.
“Yang pentingnya kita berada dalam keadaan yang sihat,” katanya ketika merasmikan pembukaan kemudahan berkenaan pada Ahad.
Dalam masa sama, Datuk Dr. Abdul Rahman menyeru masyarakat supaya bersama-sama menjaga kemudahan tersebut daripada unsur vandalisme serta memastikan aspek keselamatan dan penyelenggaraan diberi perhatian agar dapat dimanfaatkan dalam jangka panjang.
Projek Naik Taraf Padang Futsal Kampung Demak Baru Fasa 1 dilaksanakan dengan kos RM150,000, melibatkan skop kerja dinding konkrit dan pagar serta lantai.
Turut hadir semasa majlis berkenaan ialah Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara Ramzi Abdillah, Timbalan Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara Ts. Mohamad Faisal Adenan, Penghulu Demak Baru Junaidi Jinal serta Ketua Kampung Demak Baru Fasa 1 Mohamad Zen Su’ut.-EDISI UKAS