Gillian Sumbang Emas Negara Di Kejohanan Boling Asia Di Doha
DOHA: Atlet boling kebangsaan kelahiran Sarawak, Gillian Lim mengharumkan nama negeri dan Malaysia selepas berjaya merangkul pingat emas acara Perseorangan Wanita pada Kejohanan Boling Tenpin Asia ke-28 di Doha, Qatar, sekali gus menghadiahkan pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia dalam kejohanan berkenaan.
Atlet berusia 26 tahun dari Miri itu muncul juara selepas mencatatkan jumlah jatuhan pin sebanyak 1,368 menerusi enam permainan, menewaskan peserta dari Taiwan, Li Yi-Rou yang mengumpul 1,337 jatuhan pin, manakala wakil Korea, Baek Seungja berada di tempat ketiga dengan 1,328 jatuhan pin untuk masing-masing meraih pingat perak dan gangsa.
Kejohanan yang berlangsung dari 11 hingga 22 November 2026 itu menyaksikan penyertaan atlet dari 18 negara dan persatuan boling di seluruh Asia.
Walaupun mengalami pendarahan hidung ketika permainan pembukaan, Gillian tetap mempamerkan ketenangan dan semangat juang tinggi apabila berjaya mencatatkan 279 jatuhan pin pada permainan kelima untuk mengambil alih kedudukan pendahulu sebelum mengesahkan kejuaraan menerusi catatan 221 pada permainan terakhir.
Ketika ditemu bual oleh Penyelaras Persatuan Tenpin Boling Amatur Sarawak (ABAS) selepas kejayaannya itu, Gillian mengakui permulaan saingan tidak berjalan seperti yang diharapkan.
“Permulaan saya agak sukar, lebih-lebih lagi apabila mengalami pendarahan hidung pada permainan pertama. Namun, saya cuba untuk tidak terlalu memikirkannya. Saya hanya memberikan tumpuan kepada setiap balingan dan terus bersabar,” katanya.
Gillian yang mula berjinak-jinak dengan sukan boling ketika berusia lapan tahun di Miri merupakan bekas pelajar SK dan SMK St. Joseph Miri serta graduan Sunway College.
Beliau juga merupakan atlet elit ABAS yang pernah mewakili Sarawak dalam temasya SUKMA dan Kejohanan Antara Negeri sebelum melangkah ke Pasukan Belia Kebangsaan Malaysia pada 2008 dan seterusnya menyertai Program Podium pada 2020.
Kejayaan terbaharunya itu menyusuli satu lagi pencapaian bersejarah pada 2025 apabila beliau muncul sebagai rakyat Malaysia pertama memenangi Anugerah ‘Rookie of the Year’ Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA) di Amerika Syarikat.
Mengulas lanjut mengenai kejayaannya, Gillian menyifatkan persediaan rapi serta sokongan berterusan daripada rakan dan ahli keluarganya sebagai antara faktor penting yang menyumbang kepada pencapaian tersebut.
“Kami telah membuat persiapan khusus untuk kejohanan ini selama kira-kira sebulan. Kami memberikan komitmen sepenuhnya dalam latihan dan memastikan diri benar-benar bersedia dari segi fizikal serta mental untuk menghadapi pertandingan.
“Saya ingin mendedikasikan kemenangan ini kepada keluarga, jurulatih dan semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang perjalanan karier saya,” tambahnya.
Pencapaian itu sekali lagi menjadi detik penting buat sukan boling Sarawak, sekali gus membuktikan potensi atlet kelahiran negeri ini untuk terus mencipta kejayaan di pentas antarabangsa, selain menjadi inspirasi kepada generasi muda yang berminat menceburi sukan berkenaan. - EDISI UKAS