Klinik Badminton Dalat Perkasa Pembangunan Bakat Muda Sukan
DALAT: Pembangunan bakat sukan di peringkat akar umbi terus diperkukuh menerusi penganjuran Klinik Badminton bersama Jurulatih Jong yang berlangsung di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (C) Chin Hua, di sini, pada Sabtu.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah telah mengadakan lawatan ke program berkenaan bagi meninjau secara langsung perkembangan atlet muda tempatan.
Lawatan tersebut bertujuan melihat secara dekat potensi serta kemajuan bakat-bakat muda dalam sukan badminton di kawasan Dalat, khususnya di bawah bimbingan jurulatih berkenaan.
Program klinik itu berperanan sebagai platform strategik dalam usaha mencungkil dan membentuk potensi atlet muda, di samping memberi pendedahan awal kepada mereka untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.
Dalam lawatan itu, Dato Sri Fatimah turut menyampaikan sumbangan daripada Pusat Khidmat ADUN Dalat kepada jurulatih berkenaan bagi menyokong pelaksanaan aktiviti melalui Kelab Badminton Oya.
Sumbangan tersebut mencerminkan sokongan berterusan terhadap usaha pembangunan sukan di daerah ini, khususnya dalam melahirkan lebih ramai atlet berdaya saing.
Di bawah bimbingan jurulatih tersebut, dua pemain wanita muda berusia 11 dan 17 tahun telah menunjukkan prestasi cemerlang apabila terpilih menyertai kejohanan Majlis Sukan Sekolah Sarawak (MSSS).
Mereka masing-masing akan bertanding dalam kategori bawah 12 tahun di Bintulu dan bawah 18 tahun di Niah, Miri.
Selain itu, kejayaan atlet tempatan turut terserlah menerusi pencapaian Syafiq Phua yang pernah meraih pingat emas dalam kejohanan Sukan SOPMA sebelum ini.
Pencapaian tersebut membuktikan bahawa usaha berterusan dalam pembangunan sukan mampu melahirkan atlet berprestasi tinggi, termasuk dari kawasan luar bandar.-EDISI UKAS