TYT Sarawak, Isteri Santuni Masyarakat Dalam Kunjungan Mesra Di Pekan Sebuyau
SEBUYAU: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi meluangkan masa menyantuni masyarakat setempat dalam kunjungan mesra di Pekan Sebuyau, pagi Ahad.
Program yang bermula seawal jam 7.00 pagi itu dimulakan dengan sesi sarapan pagi bersama penduduk tempatan, pemimpin masyarakat dan pegawai-pegawai kerajaan.
Sebelum majlis sarapan pagi bermula, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau Dato Sri Julaihi Narawi yang turut hadir telah menyampaikan cenderahati kenangan kepada Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi sebagai tanda penghargaan sempena kunjungan rasmi beliau ke Daerah Sebuyau.
Beliau berdua diiringi Dato Sri Julaihi turut beramah mesra bersama masyarakat setempat serta meluangkan masa mengunjungi gerai-gerai dan premis jualan makanan di sekitar Pekan Sebuyau.
Kunjungan tersebut memberi peluang kepada Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan para peniaga dan penduduk, sekali gus meninjau sendiri suasana serta aktiviti ekonomi masyarakat tempatan.
Sepanjang sesi tersebut, beliau berkesempatan bertanya khabar serta mendengar pandangan masyarakat mengenai perkembangan semasa di daerah ini.
Selepas selesai program sarapan pagi, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi serta isteri meneruskan perjalanan rasmi ke Terminal Jeti Sebuyau sebelum berlepas ke Lingga bagi menghadiri program seterusnya. -EDISI UKAS