Sarawak Sasar Lancar Nanosatelit Pertama Menjelang 2030, Pacu Ekosistem Cip, Satelit & AI Grid
MANCHESTER: Sarawak menyasarkan pelancaran nanosatelit pertama menggunakan teknologi CubeSat menjelang 2030, sekali gus meletakkan negeri itu pada landasan baharu dalam pembangunan ekosistem teknologi tinggi berasaskan cip, satelit, data geolokasi dan kecerdasan buatan (AI) Grid masa nyata.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, sasaran itu merupakan sebahagian daripada hala tuju negeri untuk menguasai teknologi masa depan yang semakin bergantung kepada AI, semikonduktor dan keupayaan pengurusan data secara masa sebenar.
Menurut beliau, teknologi satelit nano berasaskan CubeSat berpotensi membolehkan Sarawak membangunkan konstelasi satelit sendiri bagi memperoleh imej bumi, data geolokasi serta maklumat strategik yang boleh dimanfaatkan dalam pelbagai sektor pembangunan.
“Menjelang 2030, sasaran kita ialah melancarkan nanosatelit pertama menggunakan CubeSat. Melalui konstelasi satelit, kita boleh memperoleh imej bumi dan data geolokasi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi Sarawak Agenda Town Hall 'Sarawak Towards The Future' sempena Lan Berambeh Anak Sarawak 2026, UK Edition pada Ahad waktu tempatan di sini.
Sesi tersebut dikendalikan oleh Ketua Setiausaha Politik kepada Premier, Dato Fazzrudin Abdul Rahman.
Mengulas lanjut, Premier Sarawak berkata teknologi masa depan akan banyak bergantung kepada keupayaan cip, satelit dan AI Grid yang saling berhubung secara masa nyata.
“Teknologi masa depan akan banyak bergantung kepada cip, satelit dan AI Grid masa nyata. AI akan sangat bergantung kepada cip, termasuk cip satelit,” jelasnya.
Justeru, beliau menegaskan pembangunan bakat dalam bidang semikonduktor, AI, satelit, kejuruteraan dan data perlu diperkukuh bagi memastikan anak Sarawak mampu mengisi keperluan ekonomi baharu menjelang 2030.-EDISI UKAS