Anak Sarawak Di UK & Eropah Sambut Agenda AI, Hidrogen & ART, Tekad Pulang Bangun Negeri
MANCHESTER: Inisiatif strategik Kerajaan Sarawak dalam memperkasa kecerdasan buatan (AI), tenaga hijau serta sistem pengangkutan moden terus mendapat sokongan padu anak Sarawak di luar negara yang melihatnya sebagai pemangkin masa depan negeri serta peluang kembali menyumbang kepakaran.
Gelombang transformasi ekonomi baharu yang digerakkan Sarawak kini semakin dirasai sehingga ke luar negara apabila pelajar dan profesional muda negeri itu di United Kingdom (UK) serta Eropah menyatakan keyakinan terhadap hala tuju pembangunan negeri ini.
Seorang pelajar ekonomi di University of East Anglia, Gabrielle Angelica menyifatkan inisiatif kerajaan Sarawak sebagai langkah signifikan yang mampu meletakkan Sarawak setanding dengan ekonomi antarabangsa.
Menurutnya, perkembangan tersebut bukan sahaja meningkatkan keyakinan terhadap masa depan negeri, malah mendorong keinginan untuk pulang selepas tamat pengajian.
“Ini membuatkan saya lebih teruja untuk kembali ke Sarawak kerana terdapat lebih banyak peluang untuk membina kemahiran dan menyumbang kepada pembangunan negeri,” katanya ketika ditemui UKAS dan TVS semasa Sarawak Agenda Town Hall 'Sarawak Towards The Future' sempena Lan Berambeh Anak Sarawak 2026, UK Edition pada Ahad waktu tempatan di sini.
Pandangan sama turut dikongsi seorang pelajar ekonomi di University of Warwick, Aufa Abdul Hadi yang melihat pendekatan diversifikasi ekonomi sebagai langkah penting dalam mengurangkan kebergantungan kepada petroleum.
Katanya, usaha memperkukuh ekonomi hijau termasuk pembangunan hidrogen selari dengan prinsip ekonomi moden yang menekankan kepelbagaian sumber bagi mengelakkan risiko ketidaktentuan.
“Apabila ekonomi berkembang dan pelaburan meningkat, peluang pekerjaan juga akan bertambah merentasi pelbagai sektor termasuk kewangan dan pelaburan,” ujarnya.
Sementara itu, seorang jurutera terowong yang terlibat dalam projek rel berkelajuan tinggi di United Kingdom, Esha Pierra Selamat Jati menyifatkan pelaksanaan sistem Autonomous Rail Transit (ART) di Sarawak sebagai langkah progresif yang mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Beliau berkata, kepantasan pembangunan infrastruktur tersebut jelas ketara apabila perubahan pesat dapat dilihat di kawasan Kuching dalam tempoh singkat.
“ART bukan sahaja menghubungkan masyarakat dengan lebih efisien, malah berpotensi mengurangkan tempoh perjalanan harian yang sebelum ini mencecah sehingga satu setengah jam,” jelasnya.
Dalam sektor pembinaan pula, seorang arkitek berasal dari Limbang, Esha Emmanuel Selamat Jati berpandangan bahawa inisiatif tenaga alternatif seperti hidrogen membuka ruang inovasi termasuk penggunaan bahan binaan lestari serta teknologi baharu.
Menurut beliau, pelaburan dalam bidang STEM turut memberi kesan limpahan kepada sektor lain dan mampu menarik pelaburan asing serta kepakaran global.
“Apabila kita membawa masuk teknologi dan idea baharu, ia bukan sahaja membuka peluang pekerjaan, malah memperkukuh kedudukan Sarawak dalam ekonomi global,” katanya.
Mengulas cadangan pembangunan Kampus Data AI di Kuching, beliau menyifatkan langkah tersebut sebagai berani dan tepat pada masanya memandangkan Sarawak kini berada di landasan kukuh termasuk dalam sektor semikonduktor.
Pada masa sama, seorang anak Sarawak yang kini bekerja di Nottingham, Asrafizra Christine Theama Kunjang melihat inisiatif kerajaan sebagai jambatan penting dalam menghubungkan bakat luar negara dengan keperluan pembangunan negeri.
Katanya, masih terdapat jurang yang boleh diisi oleh anak Sarawak di luar negara yang memiliki kepakaran serta pengalaman antarabangsa.
“Inisiatif ini memberi ruang kepada kami untuk memahami bagaimana kami boleh menyumbang walaupun berada di luar Sarawak,” katanya.
Beliau turut menyambut baik penganjuran program Lan Berambeh Anak Sarawak yang disifatkan sebagai platform penting dalam menghimpunkan diaspora Sarawak dari pelbagai negara serta memperkukuh jaringan komuniti global.
Pandangan tersebut disokong oleh alumni University of Manchester, Amirruddin Ahmat yang menegaskan bahawa program tersebut berperanan membawa maklumat terkini mengenai pembangunan Sarawak kepada pelajar di luar negara.
“Ramai pelajar kurang mengetahui perkembangan semasa di Sarawak. Program ini membuka ruang untuk mereka melihat peluang menyumbang kembali kepada negeri,” jelasnya.
Beliau turut menyifatkan penerokaan ekonomi baharu seperti tenaga hijau sebagai strategi tepat dalam meningkatkan hasil negeri yang akhirnya memberi manfaat kepada rakyat.
Keseluruhannya, suara anak Sarawak di luar negara jelas menggambarkan keyakinan terhadap hala tuju pembangunan negeri yang kini bergerak ke arah ekonomi berasaskan teknologi, tenaga lestari dan inovasi.
Lebih penting, inisiatif tersebut bukan sahaja membuka peluang pelaburan dan pekerjaan, malah menjadi faktor penarik kepada kepulangan bakat global untuk bersama membina masa depan Sarawak yang lebih maju dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.-EDISI UKAS