Miri Julung Kali Anjur Bazar Gawai Peringkat Sarawak
MIRI: Buat julung kalinya, penganjuran Bazar Gawai Peringkat Sarawak dibawa keluar dari Bahagian Kuching apabila Gawai Dayak Bazaar & Ethnocultural Festival sempena Sambutan Perayaan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026 berlangsung di Permyjaya, Miri bermula 1 hingga 24 Mei ini.
Majlis pembukaan bazar berkenaan dijadual berlangsung esok dan akan dirasmikan oleh Timbalan Premier Sarawak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Festival berkenaan dimeriahkan dengan pelbagai pengisian menarik termasuk aktiviti-aktiviti kebudayaan, jualan makanan tradisional pelbagai kaum serta persembahan oleh artis-artis tempatan.
Penganjuran bazar ini dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuh sektor ekopelancongan Sarawak, di samping membuka peluang kepada para usahawan tempatan untuk menjana pendapatan melalui penyertaan dalam gerai jualan sepanjang festival berlangsung.
Selain itu, pelbagai aktiviti yang dirancang dijangka mampu menarik kehadiran pengunjung dari dalam dan luar Miri, termasuk dari Sabah serta negara jiran Brunei Darussalam.
Dengan kepelbagaian tarikan yang ditawarkan, festival ini bukan sahaja berperanan dalam mempromosikan warisan budaya masyarakat Dayak, malah memperkukuh kedudukan Miri sebagai salah satu destinasi pelancongan utama di Sarawak. - EDISI UKAS