Pra Gawai Meradong Masuk Hari Ke-12, Lawatan Tumpu Rumah Panjang Sungai Petai, Kesa
MERADONG: Siri Program Pra Gawai di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong memasuki hari ke-12 dengan tumpuan lawatan ke beberapa rumah panjang sekitar Sungai Petai dan Sungai Kesa, pada Ahad.
Sepanjang lawatan tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing bersama rombongan meluangkan masa berinteraksi secara langsung dengan penduduk setempat.
Beliau menegaskan bahawa usaha memperkasa kesejahteraan masyarakat luar bandar terus menjadi keutamaan Kerajaan Sarawak, khususnya dalam memastikan komuniti rumah panjang tidak terpinggir daripada arus pembangunan.
Menurutnya, sambutan yang diberikan penduduk mencerminkan keyakinan mereka terhadap kepimpinan kerajaan negeri, di samping harapan tinggi yang dizahirkan melalui permohonan dan keperluan yang dikemukakan sepanjang sesi lawatan.
Beliau turut menyifatkan pendekatan turun padang menjelang perayaan Gawai sebagai platform penting untuk memahami realiti kehidupan rakyat secara lebih dekat, sekali gus membolehkan bantuan disalurkan dengan lebih tepat.-EDISI UKAS