32 Pasukan Berentap Dalam Mulu Handball Challenge 2026, Platform Cungkil Bakat Baharu
MIRI: Penganjuran Mulu Handball Challenge 2026 yang julung kali diadakan di Bandaraya Miri berjaya menghimpunkan 32 pasukan dari seluruh Sarawak dan Semenanjung Malaysia sekali gus menjadi platform mencungkil bakat baharu dalam sukan bola baling.
Majlis penutupan kejohanan tersebut telah disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala di Stadium Bandaraya Miri (Indoor Stadium), pada Ahad.
Berucap dalam majlis tersebut, Datuk Gerawat menyifatkan kejohanan tersebut sebagai satu pencapaian membanggakan, khususnya kerana berjaya menarik penyertaan 20 pasukan lelaki dan 12 pasukan wanita, sekali gus menjadi antara kejohanan bola baling terbesar pernah dianjurkan di Miri.
Menurut beliau, kejohanan itu bukan sahaja menampilkan permainan yang pantas dan berintensiti tinggi, malah menyerlahkan bakat serta kemahiran luar biasa dalam kalangan pemain.
“Ini pertama kali saya menyaksikan pertandingan handball secara langsung dan saya amat kagum dengan kepantasan serta kemahiran yang ditunjukkan. Ia benar-benar satu sukan yang mencabar dan memerlukan disiplin tinggi,” katanya.
Tambahnya, kejohanan ini menjadi platform mencungkil bakat baharu dalam sukan bola baling yang berpotensi mewakili Sarawak ke peringkat lebih tinggi, termasuk kejohanan kebangsaan dan antarabangsa.
Datuk Gerawat juga menekankan kepentingan sukan sebagai medium untuk mengeratkan hubungan silaturahim, di samping memberi peluang kepada para peserta untuk berkenalan dan bertukar pengalaman dengan pemain dari pelbagai negeri.
Dalam perkembangan sama, beliau menyatakan komitmen penuh untuk menyokong penganjuran edisi seterusnya, termasuk membantu mendapatkan penajaan bagi memastikan kejohanan tersebut dapat diteruskan pada masa hadapan.
“Jika belia Mulu bersedia menganjurkan edisi kedua, saya akan terus menyokong sepenuhnya dan berusaha mencari penaja kerana saya tahu kos penganjuran bukan sedikit,” ujarnya. -EDISI UKAS