Program OIKOS Satukan Pakar Dan Komuniti Demi Kesejahteraan Keluarga OKU
MIRI: Program “OIKOS Growing Together: Nurturing Families & Honouring Parents” yang menghimpunkan pelbagai pakar serta keluarga anak berkeperluan khas mewujudkan ruang selamat yang membolehkan ibu bapa mendapatkan panduan, sokongan emosi serta maklumat praktikal daripada pakar dalam satu platform tersusun.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, program seumpama itu mencerminkan ciri masyarakat penyayang dan inklusif selain membantu keluarga berdepan cabaran dalam membesarkan anak-anak istimewa.
“Usaha ini amat bermakna kerana ia memberi harapan dan hala tuju kepada keluarga yang berdepan ketidaktentuan serta cabaran dalam membesarkan anak-anak istimewa,” katanya ketika berucap dalam program tersebut di sini pada Ahad.
Tambahnya, program seumpama ini mencerminkan ciri masyarakat penyayang dan inklusif, khususnya dalam membantu keluarga yang mempunyai anak berkeperluan khas menghadapi cabaran kehidupan.
Dato Sri Lee menambah, walaupun sesi tersebut hanya berlangsung selama 15 minit, ia mampu memberi kesan jangka panjang kepada ibu bapa dan anak-anak yang memerlukan bimbingan.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa sokongan terhadap komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) merupakan satu tanggungjawab bersama, bukan sekadar pilihan.
“Miri komited untuk membina masyarakat yang tidak meminggirkan sesiapa, di mana setiap individu, tanpa mengira keupayaan, berpeluang untuk hidup dengan bermaruah,” ujarnya.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti dan pihak profesional dalam memastikan sokongan dapat disampaikan secara menyeluruh hingga ke peringkat akar umbi. -EDISI UKAS