Miss Borneo International Platform Perkasa Wanita, Promosi Budaya Borneo
MIRI: Penganjuran Miss Borneo International dilihat sebagai platform yang bukan sahaja meraikan kecantikan, malah memperkasa wanita, mempromosikan identiti budaya serta menggalakkan penglibatan antarabangsa yang lebih bermakna.
Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata, program berkenaan mencerminkan visi lebih luas yang menitikberatkan aspek kepimpinan, keyakinan diri serta perwakilan budaya.
Katanya, program ini mencerminkan satu visi yang lebih luas, iaitu melangkaui konsep pertandingan semata-mata dengan memberi penekanan kepada pembangunan kepimpinan, keyakinan diri serta perwakilan budaya.
"Saya rasa gembira melihat penekanan terhadap penyertaan lebih besar dari seluruh Borneo, khususnya dari Miri dan Sarawak, yang membuka peluang kepada wanita muda untuk tampil mewakili komuniti masing-masing di pentas lebih besar," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media bagi program Miss Borneo International di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Ahad.
Tambahnya, Miri merupakan sebuah bandar yang kaya dengan warisan budaya, kepelbagaian dan identiti tersendiri.
Justeru katanya, usaha berterusan perlu dilakukan bagi menyediakan ruang untuk mengetengahkan cerita, masyarakat dan tradisi tempatan bukan sahaja di peringkat tempatan, malah ke peringkat antarabangsa.
Sesi pengambilan peserta akan diadakan pada 5 Mei ini di Kuala Lumpur, sekali gus menggalakkan penyertaan rakyat Sarawak yang berada di ibu negara untuk turut serta dalam inisiatif tersebut.
Sidang media tersebut secara rasmi memperkenalkan Miss Borneo International, dengan malam kemuncak pertandingan dijadualkan berlangsung pada 11 Jun 2026 di Kuala Lumpur.
Penganjur turut membuka penyertaan bagi dua kategori iaitu Miss Borneo International untuk peserta berusia bawah 35 tahun serta kategori Women Empowerment bagi peserta berumur 35 tahun ke atas, sejajar dengan matlamat memperkasa wanita dari pelbagai lapisan umur. -EDISI UKAS